ESSCOM Tahan 21 PATI Masuk Sabah Secara Haram

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas pantai timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan 21 pendatang asing tanpa izin (pati) warga Indonesia dalam operasi Op Cegah Pati (OCP) Daratan, di Batu 3.5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, semua pati terbabit ditahan ketika cuba bersembunyi di kawasan semak sepanjang pesisir pantai perkampungan atas air berkenaan.

Katanya, semua pati itu disyaki baru tiba daripada indonesia dan mendarat di kawasan berkenaan menggunakan bot laju.

“Dalam kejadian jam 7.43 malam itu, pasukan ESSCOM yang bertindak atas maklumat melaksanakan rondaan di kawasan berkenaan sebelum menahan semua pati terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua 21 pati terbabit yang terdiri daripada tujuh lelaki dewasa dan 11 wanita dewasa bersama tiga kanak-kanak tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan enam bulan hingga 70 tahun itu dan mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, ESSCOM dengan kerjasama agensi keselamatan lain yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah di ESSZone.

Katanya, usaha itu membabitkan rondaan dan pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep “Show of Force” bagi mengawal kemasukan pati terutamanya daripada negara jiran.

“Ia juga selari dengan usaha untuk mengekang dan memutuskan rangkaian Covid-19 daripada merebak masuk ke negara ini melalui pati,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad menggesa masyarakat di kawasan ESSZONE supaya sentiasa memberikan kerjasama termasuk menjadi “mata dan telinga” dengan menyalurkan maklumat berhubung kemasukan pati dan penyeludupan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi ESSCOM ditalian 089-863181 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *