Situasi Covid-19 Di Sabah Semakin Serius – Masidi

Datuk Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, situasi Covid-19 di Sabah semakin serius apabila 117 daripada 217 kes yang dicatatkan hari ini adalah hasil daripada saringan kontak rapat.

Katanya, perkembangan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan jangkitan akan menjadi lebih meluas di kalangan masyarakat di Sabah.

”Selain daripada 117 kes hasil daripada saringan kontak rapat, sebanyak 42 kes lagi adalah daripada saringan kluster sedia ada, saringan bersasar (10), saringan bergejala (37), saringan kategori kemasukan wad, prosedur atau penjaga (tiga), saringan pekerjaan (satu) dan lain-lain kategori (tiga).

”Tawau mencatat kes harian terbanyak hari ini iaitu sebanyak 51 termasuk daripada kluster baharu dan lain-lain daerah yang turut mencatatkan kes harian yang tinggi ialah di Kota Kinabalu sebanyak 12 kes, Penampang (21), Kunak (20), Lahad Datu (16), Keningau (12), Sandakan (12) dan Tuaran (10),” katanya, di sini, hari ini.

Masidi berkata, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Desa Tanggu di Tawau yang tercetus sempena perayaan Aidilfitri membabitkan individu yang telah lengkap vaksinasi masing-masing sebelum ini.

Katanya, individu yang juga kluster indeks bagi kluster berkenaan merupakan wanita berusia 53 tahun yang mempunyai gejala sejak 15 Mei dan kemudiannya disahkan
positif di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei hasil saringan bergejala.

”Susulan kes itu, saringan kontak rapat dan kontak sosial mendapati 17 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes dan berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada satu kontak sosial yang berhari raya ke rumahnya pada 13 Mei.

”Kontak sosial terbabit mempunyai rekod pergerakan ke tiga buah rumah di Taman Desa Ranggu serta rumah mertuanya di Kampung Jawa Tawau sebelum dikesan positif pada 22 Mei 2021,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Masidi berkata, kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk melarang perkongsian peralatan sembahyang di semua premis ibadat.

”Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mewajibkan semua jemaah supaya membawa sejadah dan telekung sendiri semasa menunaikan solat di masjid, surau atau bilik-bilik sembahyang yang disediakan oleh pemilik-pemilik premis perniagaan.

”Pihak pengurusan masjid, surau dan pemilik-pemilik premis perniagaan juga tidak menyediakan peralatan tersebut.

”Selain itu, penganut agama Kristian, Buddha dan lain-lain juga diwajibkan membawa peralatan sendiri semasa beribadat di rumah ibadat masing-masing dan notis mengenai kewajiban membawa peralatan sendiri hendaklah dipamerkan di semua premis ibadat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang penganjuran pertandingan golf adalah tidak dibenarkan serta-merta sehingga 7 Jun.

Susulan keputusan itu, katanya, kebenaran penganjuran pertandingan golf yang dikeluarkan atau diluluskan oleh Kementerian Belia Dan Sukan Sabah sebelum ini adalah dibatalkan dengan serta merta.

”Kebenaran permainan atau sukan golf pada masa ini hanyalah bagi tujuan rekreasi sahaja dan kebenaran ini juga adalah tertakluk hanya seorang pemain sahaja dibenarkan menggunakan sebuah ‘buggy’,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *