57 Tahun Merdeka Tapi Sabah Masih Ketinggalan

Ahmad Hassan

KOTA KINABALU: Apa makna merdeka jika masyarakat di negeri ini ketinggalan jauh daripada arus pembangunan tanpa ada kemudahan infrastruktur yang baik.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, amat menyedihkan apabila sudah 57 tahun Malaysia merdeka namun pembangunan di daerah Papar masih jauh ketinggalan.

Beliau berkata masih ada orang kampung yang terpaksa meredah laluan berlumpur kerana tiada kemudahan jalan raya sama ada menggunakan batu kelikir mahupun jalan berturap.

“Ini jelas menunjukkan biarpun sudah 57 tahun merdeka, tiada apa-apa perubahan yang dinikmati penduduk. Banyak lagi penduduk di Sabah ini yang hidup serba kekurangan tanpa ada bekalan elektrik dan hanya menggunakan air graviti dari bukit.

“Oleh itu, rakyat harus bangkit bagi memastikan kemerdekaan yang dikecapi hari ini seiring dengan arus pembangunan, sama seperti apa yang rakyat nikmati di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam Program Bual Bicara ‘Sabah Negeri Merdeka’ menerusi siaran langsung Facebook, di sini baru-baru ini.

Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Papar ini berkata, sehingga kini masih terdapat 587 sekolah daif di Sabah yang perlukan perhatian bagi membaik pulih dan pembinaan bangunan baharu.

Namun, sudah setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, sekolah-sekolah daif ini masih belum mendapat perhatian.

Jika dilihat di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama dua tahun, lima sekolah daif telah dibina semula di Parlimen Papar.

Kawasan Parlimen yang mempunyai 145 buah kampung ini masih perlu dibangunkan kerana masih ramai penduduk yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai jalan berturap.

Ketika Warisan memerintah, bantuan yang disalurkan tidak mengira penduduk sesebuah kawasan itu pengundi parti mana. Semua pihak diberi bantuan tanpa mengira latar belakang politik mereka.

“Ketika ini biarpun kita pembangkang, kita masih menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dengan turun padang dan memberi bantuan semampu yang boleh biarpun tiada peruntukan parlimen. Kita tidak memilih bulu dalam membantu rakyat yang memerlukan ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam berpolitik perlu ada prinsip jika tidak, mudah sahaja seseorang pemimpin itu dibeli.

“Rakyat memberi mandat kepada wakil rakyat untuk memperjuangkan hak mereka. Kalau saya tamakkan duit sudah lama saya menerima tawaran untuk menyokong kerajaan hari ini. Malah, minggu lalu pun ada yang datang memberi tawaran untuk menarik saya menyokong PN.

“Bila menyertai politik, bukan hasrat saya ingin memperkayakan diri kerana itu bukan lambang kita merdeka kerana mudah untuk dibeli,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *