Mana Janji Jeffrey Hantar Pulang Pemegang IMM13

Azis Jamman

KOTA KINABALU: Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman mencabar Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan untuk mengemukakan data berapa ramai pemegang IMM13 sudah dihantar pulang ke Filipina.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu pernah berjanji untuk menghantar pulang warga Filipina yang memegang dokumen IMM13 kerana tiada lagi peperangan di negara jiran tersebut.

Itu janji yang dibuat oleh Jeffrey sendiri semasa beliau masih lagi pembangkang dan sekarang bila sudah menjadi kerajaan, kenapa tida diusir keluar golongan yang dikatakan tidak lagi relevan berada di Sabah ini.

Katanya, perlu diingat pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak sama dengan pengusiran pemegang IMM13 kerana PATI memang masuk ke negara ini secara haram dan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Warisan memang program penghantaran pulang PATI ini dijalankan.

Namun, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan STAR sebelum ini membangkitkan tentang usaha menghantar pulang pemegang dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung Burung. Jadi sekarang apa cerita?.

Mohd Azis berkata, GRS sendiri sedar kerajaan Filipina juga tidak menerima pemegang ketiga-tiga dokumen ini kerana mereka sudah lama berada di Sabah malah, sudah beberapa generasi dilahirkan di Sabah.

Hari ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin adalah orang Sabah dan Jeffrey sepatutnya tanya sendiri berapa ramai pemegang tiga dokumen itu yang sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Dahulu mereka kata IMM13 adalah mekanisma terbaik untuk menyelesaikan isu warga asing di Sabah. Persoalannya, kenapa Jeffrey tidak menggunakan kuasa negeri yang ada untuk menyelesaikan isu ini,” katanya dalam sesi temu bual secara langsung menerusi Facebook baru-baru ini.

Mohd Azis berkata, beliau tidak melihat kesungguhan Jeffrey dalam menyelesaikan isu PATI ini sebaliknya, Presiden STAR itu hanya menggunakan isu PATI untuk kekal relevan di mata rakyat.

Beliau mengajak semua pemimpin Sabah untuk sama-sama bekerjasama demi memastikan isu dan kepentingan rakyat Sabah menjadi keutamaan.

Jika Tun Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang boleh berada dipentas sama untuk menyelamatkan negara, beliau tidak melihat mengapa pemimpin Sabah tidak boleh buat perkara yang sama.

“Agenda kita adalah untuk menuntut hak-hak Sabah supaya dapat ditunaikan. Ini masanya untuk kita bersatu untuk menuntut hak Sabah daripada kerajaan persekutuan. Apabila tiba masa parti persekutuan boleh menang majoriti 2/3 dengan sendirinya, suara pemimpin Sabah tidak akan dipedulikan.

“Ini bukan soal kita kemaruk hendak menjadi kerajaan tetapi ini soal hak dan kepentingan Sabah yang perlu diperjuangkan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semasa zaman Warisan dan Pakatan Harapan (PH), 17 daripada 21 perkara dalam MA63 berjaya ditunaikan dan kini hanya empat perkara utama yang perlu dituntut oleh GRS demi kesenangan anak cucu pada masa akan datang. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *