2 Beradik Disamun 10 Lelaki Bersenjata Di Semporna

Polis sedang mengesan Haslam untuk membantu siasatan polis.

SEMPORNA : Dua beradik mengalami detik cemas selepas disamun oleh sepuluh lelaki bersenjata di kawasan Ladang Pinang, di sini 15 Mei lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, kedua-dua mangsa berumur 43 dan 22 tahun itu masing-masing menunggang motosikal dalam perjalanan balik ke Ladang Nasip Kita daripada rumah kawannya sebelum ditahan sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata semasa mangsa melalui lokasi kejadian, mereka ditahan oleh sepuluh lelaki yang menaiki dua buah kenderaan.

“Kesemua suspek terbabit membawa senjata tajam terus menuju ke arah mangsa dan salah seorang daripada mereka bertindak memukul kepala mangsa mengunakan pedang samurai.

“Mujur mangsa ketika itu menggunakan topi keledar yang melindunginya daripada tercedera,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam

Menurutnya, suspek juga turut mengacu sebilah pisau dan pedang samurai ke leher mangsa sambil memintanya menyerahkan semua barang berharga.

“Mangsa menyerahkan dompet berisi wang tunai sebanyak RM600, sebuah telefon bimbit, dua buah motorsikal bersama gerannya serta salinan pasport mereka.

“Kesemua suspek melarikan diri ke arah Tawau selepas berjaya menyamun barang berharga mangsa,”katanya

Farhan berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Bandar Sri Indah, Tawau berhubung kejadian itu.

“Polis sedang mengesan seorang lelaki Haslam Abdul Talib, 28, beralamat di Jalan Tun Fuad Kunak untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *