Sabah Tinggalkan PSM Berkuatkuasa Serta Merta

Awang Sham (duduk) tengah merakamkan gambar kenangan bersama barisan kepimpinan ASTAKA

KOTA KINABALU: Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA) muncul ahli gabungan terbaharu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang mengumumkan keluar daripada badan induk berkenaan, berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu diumumkan Presiden ASTAKA, Datuk Awang Sham Amit dalam sidang media, di sini, petang ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa eksekutif dan ahli majlis tertinggi badan induk itu.

Katanya, mesyuarat itu sebulat suara memutuskan penarikan diri sebagai ahli gabungan PSM dan pada masa yang sama menyokong usaha penubuhan badan induk baharu sepak takraw negara.

“ASTAKA mengambil maklum dan memandang serius keputusan yang dibuat Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) berhubung penyingkiran PSM sebagai ahli gabungannya pada 20 Mei 2021.

“Isu ini akan menjejaskan sukan sepak takraw negara pada masa akan datang dan bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw, ASTAKA melalui mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli Majlis Tertinggi ASTAKA, hari ini memutuskan penarikan diri sebagai ahli gabungan PSM berkuat kuasa serta merta.

“ASTAKA dengan setulus hati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PSM dan barisan kepemimpinannya atas segala usaha dan bakti yang ditaburkan kepada sukan sepak takraw negara sepanjang penubuhannya,” katanya.

ASTAKA adalah ahli gabungan ke-11 badan induk sepak takraw negara yang mengumumkan keluar daripada PSM setakat ini.

Sebelum ini 10 ahli berbuat demikian adalah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut mengumumkan menarik diri ialah Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) dan Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs).

Mengulas lanjut, Awang Sham berkata ASTAKA mengambil keputusan menarik diri kerana sudah tiada pilihan selain menyokong tindakan yang diambil majoriti persatuan ahli gabungan PSM.

“Kita mesti menyokong jumlah yang lebih (majoriti) dan hari ini kita juga bersetuju untuk bersama dalam penubuhan badan induk sepak takraw yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Sham berharap ahli jawatankuasa mewakili ASTAKA dalam badan induk sepak takraw negara akan dikekalkan apabila persatuan baharu menggantikan PSM ditubuhkan.

Katanya, pembabitan ASTAKA sebagai wakil dari Sabah penting sebagai kesinambungan pembangunan sukan sepak takraw di negeri ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *