Suami Isteri Cedera Dibelasah & Disamun Di Putatan

Mohd Haris Ibrahim

PENAMPANG: Sepasang suami isteri terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dibelasah dan disamun oleh dua lelaki dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Kedua-dua mangsa diserang oleh dua suspek ketika sedang berehat dalam kereta di kawasan berhampiran gelanggang futsal Putatan dekat sini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebelum kejadian, pasangan yang berumur dalam lingkungan 30 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurutnya, mangsa berhenti di tepi jalan untuk berehat dalam kereta kerana masih di bawah pengaruh alkohol.

Bagaimanapun katanya, ketika sedang berehat, dua lelaki menaiki motosikal menuju ke arah kereta mangsa dan bertindak memecahkan tingkap kereta menggunakan batang besi panjang.

“Ketika itu berlaku pergelutan sebelum suspek memukul mangsa dengan senjata tajam di bahagian kepala manakala isterinya cedera di dahi dan lutut akibat ditarik keluar oleh suspek.

“Kedua-dua suspek terus melarikan diri bersama beg duit mangsa yang berisi wang tunai selepas menyedari ada kenderaan lain melalui lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pasangan suami isteri berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) II menggunakan ambulans.

Pihaknya terus menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan samun berkawan dan bersenjata,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *