Mandur Ladang Mati Ditetak, Ditikam 6 Lelaki

Mohd Azhar Hamin

SANDAKAN: Seorang mandur mati ditetak dan ditikam selepas diserang sekumpulan lelaki di Ladang Malangking dekat sini kira-kira jam 2 petang semalam.

Lelaki berumur 42 tahun itu yang juga mandur di ladang berkenaan dipercayai meninggal dunia selepas diserang seramai enam lelaki.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, semasa kejadian mangsa berada di bilik tidur dalam rumahnya sebelum didatangi enam lelaki bersenjata parang panjang, pisau dan pemecah ais.

“Akibat serangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tetakan dan tikaman di bahagian badan,” katanya mengesahkan kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, anak lelaki mangsa berumur 18 tahun yang berada di rumah berkenaan turut mengalami kecederaan selepas cuba membantu menyelamatkan ayahnya semasa kumpulan lelaki itu menyerang.

“Pihak polis menghantar mayat mangsa ke Hospital Duchess Of Kent untuk dibedah siasat,” katanya.

Mohd Azhar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, polis menahan tiga individu bagi membantu untuk mengesan kesemua suspek pembunuhan terbabit.

Beliau berkata, polis sedang giat menjalankan operasi mengesan enam suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Katanya, polis menjalankan siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *