Sabah Larang Rentas Daerah Ketika Sambutan Pesta Kaamatan

Kaamatan adalah perayaan etnik Kadazandusun dan Murut untuk mensyukuri hasil padi.

KOTA KINABALU: Sabah akan menguatkuasakan larangan rentas daerah bermula 27 Mei hingga 3 Jun ketika sambutan Pesta Kaamatan yang akan disambut pada 30 dan 31 Mei.

Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Masidi Manjun berkata, aktiviti rentas daerah mengikut zon dibenarkan semula mulai esok di seluruh negeri.

Kata beliau, zon-zon berkenaan terdiri daripada Zon 1, melibatkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar; Zon 2, iaitu Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang, serta Zon 3, iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

Turut terlibat adalah Zon 4 (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod), Zon 5 (Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan), dan Zon 6 (Keningau, Tambunan dan Tenom).

Beliau berkata, kebenaran itu hanya diberikan selama 10 hari sehingga larangan rentas daerah dilaksanakan semula.

”Sepanjang tempoh itu, hanya Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah,” kata beliau ketika dihubungi.

”Dalam tempoh itu juga, pihak polis akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) dan hanya pengguna jalan raya yang diberi permit oleh polis atau dokumen sah kebenaran rentas daerah saja yang akan dibenarkan meneruskan perjalanan ke daerah dituju.”

Masidi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko untuk mencuba nasib merentas daerah kerana pihak polis akan mengarahkan mereka berpatah balik.

Kata beliau, larangan rentas daerah itu dilaksanakan untuk mengawal pergerakan individu dan mengurangkan kontak fizikal bagi membendung penularan Covid-19 di Sabah.

Terdahulu, beliau berkata jangkitan dalam kalangan ahli keluarga menjadi faktor kes Covid-19 di Kunak melonjak kepada 21 kes, hari ini.

Masidi Manjun

Jumlah itu juga menjadi penyumbang terbesar kepada 87 kes baharu yang dicatatkan di Sabah hari ini, tambah beliau.

”Lain-lain daerah yang mencatatkan jumlah kes yang banyak adalah Kota Kinabalu sebanyak 18 kes, manakala Tawau dan Kalabakan masing-masing mencatat 12 kes.

Menurut Masidi lagi, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini, iaitu Jalan Menteri di Kota Kinabalu, yang membabitkan pengunjung sebuah gereja dari Penampang. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *