Dakwaan akan berlaku Peralihan Kuasa Hanya Propaganda Politik – Hajiji

Hajiji Noor berkata, perkara itu hanya ditimbulkan untuk untuk merosakkan perpaduan dalam kalangan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

PUTATAN: Ketua Menteri Hajiji Noor menyifatkan khabar angin yang tersebar konon akan berlaku peralihan kuasa di negeri itu hanya propaganda politik yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, perkara itu juga hanya ditimbulkan untuk untuk merosakkan perpaduan dalam kalangan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Bagaimanapun, saya ingin tegaskan kerajaan GRS stabil dan kami juga tidak mahu mengambil perhatian sangat terhadap isu ini kerana apa yang penting bagi kami adalah membangunkan negeri Sabah.

“Saya tidak tahu apa niat sebenar pihak yang menyebarkan khabar angin ini tetapi saya melihat ia lebih bertujuan untuk mengganggu perpaduan di kalangan parti dalam GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Meruntum di pusat pemindahan sementara (PPS) di PPR Serigai.

Hajiji berkata, dakwaan itu kini bukan lagi satu isu kerana Setiausaha Agung PBS, Joniston Bangkuai menafikannya semalam.

“Lebih baik kita tumpukan untuk membangunkan negeri ini kerana rakyat telah memberi mandat kepada kita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

Semalam, satu mesej tersebar menerusi WhatsApp mendakwa Warisan akan membentuk kerajaan baharu bersama PBS, PKR, UPKO dan tiga calon bebas yang menang pada PRN lalu.

Bagaimanapun, Joniston ketika dihubungi menyangkal dakwaan itu dan mengatakan ia hanya “omong kosong”.

Selain Joniston, ADUN Pitas, Ruddy Awah juga menafikan perkara itu dan menyifatkan ia hanya satu fitnah yang dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab.

Ruddy sebelum ini memenangi DUN Pitas sebagai calon bebas namun kemudiannya menyertai Bersatu.

Baru-baru ini, Presiden Warisan Shafie Apdal menyatakan hasratnya untuk menjalinkan kerjasama dengan PBS demi kebaikan Sabah dan hak negeri itu.

Susulan itu juga, Presiden PBS, Maximus Ongkili turut menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang termasuk Warisan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *