Polis Ranau Rampas Dadah Bernilai RM14, 850

Sammy (tengah) bersama anggota polis yang lain menunjukkan dadah yang berjaya dirampas

RANAU: Siasatan Jenayah Narkotik Ranau berjaya merampas sejumlah dadah bernilai RM14, 850 dalam satu operasi yang dilaksanakan di sini pada 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintenden Sammy Newton berkata, satu serbuan telah dilakukan pada 8 Mei lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kundasang Ranau.

“Hasil serbuan itu, tiga orang lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah telah ditahan. Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai sejumlah 297 gram dadah disyaki jenis ganja. 

“Harga semasa dadah yang dirampas adalah RM14,850 dan kes telah disiasat berdasarkan Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjarakan seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali.

Sementara itu katanya, pada 11 Mei lalu, pasukan polis dari BSJN IPD Ranau juga telah menahan dan menangkap seorang lelaki di kawasan Kampung Debut, Ranau kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai sejumlah 8.0 gram dadah disyaki jenis syabu daripada suspek yang ditangkap.

“Harga semasa dadah yang  dirampas adalah sebanyak RM800. Kes telah disiasat berdasarkan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali.

Sammy berkata, pihaknya memandang serius berkenaan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta akan mempergiatkan lagi operasi bagi membendung gejala penagihan, pengedaran dadah di daerah Ranau secara agresif.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak terlibat secara langsung ataupun tidak dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah kerana kesannya sangat buruk kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *