Tujuh Dari Sembilan Tahanan Lolos Berjaya Ditahan Semula

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Tujuh daripada sembilan tahanan yang nekad meloloskan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal di sini dipercayai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri berjaya ditahan semula.

Menurut sumber tiga tahanan ditahan pada Khamis manakala empat yang lain ditahan semalam.

“Kejadian berlaku pada pagi Aidilfitri apabila sembilan tahanan berumur 20 hingga 40-an itu dilihat melarikan diri dengan memanjat tembok blok depoh berkenaan.

“Tindakan pantas pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan bagaimanapun berjaya menahan tiga daripada tahanan di kawasan depoh manakala enam yang lain melarikan diri ke arah belakang berhampiran sebuah perkampungan di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya operasi memburu suspek yang melarikan diri itu kemudiannya dijalankan membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Empat lagi suspek berjaya ditahan pihak berkuasa di sekitar radius lima kilometer dari kawasan DTI kira-kira jam 8 malam hari sama.

“Dua lagi PTI yang masih bebas dan operasi memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan pasukan keselamatan,” katanya sambil menambah semua suspek yang ditahan sudah dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan operasi memburu dua lagi suspek akan dipertingkatkan termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.

Sebelum ini, sekumpulan penghuni depoh tahanan sama dilaporkan merusuh selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan balik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, keadaan berkenaan berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) IPD Kota Kinabalu dikerah dilokasi kejadian. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *