Dua Guru Dari Sabah Calon Top 30 Cikgu Juara Digital 2021

KENINGAU: Tahniah diucapkan kepada cikgu Nadia Richard dari SMK Bandaraya Kota Kinabalu dan cikgu Hanafiah Bin Eddy Chong Junairi dari SMK Ulu Sapi kerana berjaya terpilih sebagai calon 30 terbaik anugerah Cikgu Juara Digital 2021.

Lebih daripada 180 penyertaan yang telah dihantar untuk anugerah ini dan senarai 30 calon terbaik telah diumumkan oleh pihak MDEC pada 11 Mei 2021 melalui laman sesawang dan medial sosial mereka.

Pemenang Cikgu Juara Digital akan diumumkan pada 17 Mei sempena sambutan hari guru di Malaysia.

Cikgu Nadia Richard merupakan guru aktif inovasi sains, teknologi, matematik, kejuruteraan (STEM) sejak tahun 2010 dimama beliau telah banyak membimbing murid menyertai pertandingan yang melibatkan pengaturcaraan (coding) , robotik dan inovasi di peringkat negeri sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Guru ini berjaya mengintegrasikan teknologi digital dalam pengajaran serta pembelajaran sains di bilik darjah secara kreatif.

Sebagai seorang tenaga pengajar utama konsep Inquiry Based Science Education (IBSE), beliau juga mengamalkan pembelajaran inkuiri di dalam bilik darjah.

Beliau sangat aktif menjalinkan kerjasama dengan pihak luar seperti Petrosains, UMS, UiTM, Politeknik Kota Kinabalu dan ILPKK dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan STEM dikalangan murid- murid.

Hasrat beliau menyertai pertandingan ini adalah untuk memperluaskan jalinan kerjasama, menimba ilmu dan mencari peluang untuk menaiktaraf bilik Maker Hub di sekolahnya.

Pengetua SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Puan Rohani binti Ramlee berharap lebih ramai guru dari sekolah tersebut yang dapat melibatkan diri dalam bidang inovasi yang mampu memberi nilai tambah kepada kemajuan diri.

Beliau juga berhasrat untuk menjadi peneraju dan pendorong kuat ke arah tujuan ini selain menekankan kepentingan pembelajaran dan pengajaran sebagai tugas utama golongan pendidik.

Cikgu Hanafiah pula mula bergiat aktif dalam pendidikan STEM sejak 2016 dan menjadi penceramah bagi beberapa sesi STEM anjuran pusat STEM Negara.

Pada masa ini, beliau bertugas di SMK Ulu Sapi, sebuah sekolah luar bandar di daerah Telupid.

Berpengalaman membimbing murid dalam bidang STEM khususnya robotik dan inovasi sehingga mengukir kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Hasrat utama beliau adalah meningkatkan minat dan pencapaian murid luar bandar dalam bidang sains dan matematik.

Oleh itu pelbagai pendekatan telah beliau laksanakan seperti mengoptimumkan penggunaan telefon pintar dalam sesi pengajarannya dan penghasilan bahan multimedia kreatif oleh pelajar.

Pada masa ini, beliau sedang dalam fasa akhir mewujudkan sebuah pusat STEM luar bandar pertama di Sabah.

Oleh itu, sekiranya berjaya terpilih ke peringkat seterusnya dalam anugerah Cikgu Juara Digital, beliau berhasrat menambah baik Pusat STEM luar bandar yang sedang diusahakan.

Dia juga ingin membina jaringan antara guru dalam memperkasakan bidang STEM di sekolah.

Kedua-dua guru dari Sabah ini juga melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada guru-guru yang pernah menjuarai anugerah ini iaitu cikgu Aman dari SMK Jenjarom Selangor dan cikgu Norhailmi dari SMK Jerlun Kedah atas bimbingan mereka.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *