Raya Pertama Di Sabah, 218 Kenderaan Diarah Patah Balik

KOTA KINABALU: Sebanyak 218 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) diarah berpatah balik pada hari pertama Aidilfitri di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata 53 SJR dilaksanakan di seluruh negeri dan sebanyak 22,322 buah kenderaan diperiksa.

Pada hari ini juga, sebanyak 65 kompaun kerana melanggar SOP Covid-19 dikeluarkan seluruh Sabah.

“Seramai 11 orang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka, 19 orang gagal menyediakan perlatan bagi merekod butiran pelanggan manakala 35 lagi dikompaun kerana merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran.

“Selain itu, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membabitkan 80 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 24 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan, bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat dalam pemeriksaan itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Masidi berkata sebanyak 76 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 59,149.

Pada hari ini juga, dua kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu kes di Sandakan dan Lahad Datu.

“Sabah juga merekodkan satu kluster baharu, hari ini, iaitu kluster Kongsi Lapan di Tawau membabitkan komuniti di Kampung 8.

“Kes indeks merupakan wanita berusia 45 tahun yang telah disahkan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tawau pada 7 Mei.

“Turut dikesan positif Covid-19 ialah sepupu yang tinggal serumah dengan kes indeks dan berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri solat tarawih dan pengagihan moreh sepanjang bulan ramadan bermula 29 April hingga 6 Mei lalu di Masjid Baitul Farihin, Kampung 8 di Tawau.

“Daripada 56 orang yang disaring, sembilan didapati positif menjadikan jumlah terkini bagi kluster ini ialah 11 kes, manakala 34 sampel lagi masih menunggu keputusan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *