Sabah Benarkan Ziarah Aidilfitri Hingga Raya Ketiga, Tapi Rumah Terbuka Dilarang

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah membenarkan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan kubur sempena Aidilfitri sehingga raya ketiga, tetapi penganjuran majlis hari raya dan rumah terbuka dilarang sama sekali.

Tetapi, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, ziarah rumah ke rumah terhad kepada 20 ahli keluarga terdekat, manakala ziarah kubur tidak melebihi 30 minit dan enam orang untuk satu lot kubur.

“Sesi ziarah hari raya dihadkan dari 9 pagi sehingga 9 malam, iaitu dua jam bagi setiap 10 orang dan tuan rumah wajib menyediakan kod QR MySejahtera serta mematuhi protokol kesihatan umum.

“SOP terbaru yang dikemas kini itu akan diwartakan esok dan berkuat kuasa sehingga 7 Jun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, aktiviti lain yang dibenarkan termasuk takbir dan solat sunat hari raya di masjid dan surat, jamuan yang diadakan selepas itu, dengan syarat penyediaan makanan secara berbungkus dan diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan golongan berisiko tinggi tidak dibenarkan menyertai aktiviti itu, manakala jemaah wanita disarankan tidak mengikuti solat sunat Aidilfitri.

Beliau berkata, semua aktiviti perayaan dilarang sama sekali di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Dalam pada itu, Masidi berkata, aktiviti pelancongan dibenarkan di dalam daerah mulai 12 hingga 16 Mei ini, manakala pelancongan mengikut zon dibenarkan dari 17 Mei hingga 7 Jun.

Katanya, aktiviti pelancongan antara daerah atau zon dari 17 Mei hingga 7 Jun dibenarkan, tetapi perlu melalui agensi pelancongan serta mendapat kebenaran khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah (Covid-19).

Beliau berkata, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam dan sambutan hari jadi serta seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, majlis akad nikah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan pihak berkuasa agama negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *