Lelaki Terselamat Kenderaan Tiba-Tiba Terbakar

LABUAN: Tindakan pantas seorang lelaki berusia 31 tahun keluar daripada kenderaannya yang tiba-tiba terbakar di Jalan Dewan, di sini, terselamat tanpa sebarang kecederaan .

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, mangsa dikatakan sedang memandu kereta Toyota Vellfire menyedari lampu kecemasan pada papan pemuka kenderaannya tiba-tiba menyala.

Pemilik kenderaan berkenaan kemudiannya melihat asap keluar daripada bahagian sisi kiri tayar hadapan kenderaan sebelum terus keluar menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, sebaik menyedari kejadian itu, mangsa sempat meletakkan kenderaannya di sisi jalan sebelum keluar menyelamatkan diri.

Katanya, kenderaan terbabit bagaimanapun gagal diselamatkan sebelum musnah terbakar sepenuhnya.

“Pihak polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu tiba dilokasi kira-kira jam 11.15 pagi dan mendapati pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang berusaha memadamkan kebakaran.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, hasil siasatan awal, pihak polis mendapati tidak sebarang unsur khianat yang boleh dikaitkan sebagai punca kebakaran ini.

Katanya, kes akan dirujuk kepada pihak Bomba untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kejadian sebenar.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bunyi letupan seperti mercun dan bunga api dalam insiden berkenaan, Ahmad berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada JBPM. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *