Aidilfitri : Polis Sabah Periksa Rumah Ke Rumah & Pantau Tanah Perkuburan

KOTA KINABALU: Bukan sekadar pemeriksaan dari rumah ke rumah, pasukan polis Sabah akan turut memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tanah perkuburan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, sebanyak 358 pasukan pematuhan SOP akan digerakkan semasa musim perayaan kali ini bagi memantau kawasan tumpuan orang ramai termasuk di kampung, kompleks beli belah dan tanah perkuburan.

Beliau berkata, sudah menjadi tradisi masyarakat untuk menziarahi kuburan semasa Aidilfitri. Atas sebab itu, pasukan pemantuhan turut digerakkan ke tanah perkuburan.

“Kita bimbang akan wujud kluster Aidilfitri selepas sambutan raya ini. Kita juga mendapati pematuhan masyarakat semakin menurun.

“Untuk itu, kali ini tiada lagi tolak ansur dan kita akan terus mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal mematuhi SOP,” katanya ketika sidang media hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh dua hari lalu, pergerakan kenderaan dari pantai barat ke pantai timur Sabah dilihat meningkat 30 peratus.

Namun apabila hendak kembali semula ke bandar selepas raya, setiap individu perlu mengemukakan permit daripada polis. Jika gagal menunjukkan permit, mereka akan diarah untuk berpatah balik.

Hazani turut mencadangkan mana-mana individu yang pulang dari Semenanjung Malaysia selepas Aidilfitri hendaklah dikuarantin bagi mengelakkan penularan jangkitan. 

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 negeri Sabah pada hari ini.

Mengenai sekatan jalan raya (SJR), terdapat 51 SJR telah didirikan di seluruh Sabah semalam dan sekatan itu akan berterusan sepanjang larangan rentas daerah bermula hari ini hingga 16 Mei. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *