Adik Dapat Tiga Jahitan Ditoreh Abang Kandung

Gambar Hiasan

BEAUFORT: Seorang lelaki berusia 24 tahun terpaksa menerima tiga jahitan di pipi selepas terkena pisau ketika cuba meleraikan pergaduhan antara kakak dan abang kandungnya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, abang mangsa dikatakan mengamuk selepas dilarang pergi ke Kota Kinabalu oleh ibu mereka.

Difahamkan, ibu mangsa tidak membenarkan lelaki berusia 32 tahun terbabit ke ibu negeri untuk mengambil barang kerana menggunakan motorsikal orang lain selain tidak mempunyai lesen.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berang dengan larangan itu meninggikan suara memarahi ibunya.

Katanya, kakak mangsa kemudiannya menegur suspek kerana meninggikan suara dan menyebabkan saspek bertambah marah sebelum bertindak mengambil pisau di dapur rumah.

“Mangsa kemudian datang untuk cuba menghalang dan meleraikan pergaduhan berkenaan namun pisau yang dipegang suspek terkena pipi sebelah kanan mangsa.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dan usaha mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan,”’katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Yussof Zaki berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Beaufort dan terpaksa menerima 3 jahitan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – AsiaTime

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *