Sabah Benarkan 3 Pasar Raya Dalam HIDE Beroperasi

Kawalan ketat akan dilakukan di premis terlibat, bagi memastikan pengunjung dan pasar raya itu mematuhi SOP.

KOTA KINABALU: Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Covid-19 Negeri Sabah hari ini, membenarkan tiga pasar raya di negeri ini yang disenarai dalam sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE), terus beroperasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Masidi Manjun, berkata sehubungan itu kawalan ketat akan dilakukan di pasar raya terlibat, bagi memastikan pengunjung dan pasar raya itu mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang Covid-19.

Masidi Manjun

“Kami arahkan RELA dan DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) buat kawalan di pintu masuk pasar raya terbabit. Jika melebihi daya tampungnya, pengunjung akan disekat masuk sementara menunggu pengunjung lain keluar.

“Kita akan hanya menutup dan menyahkuman pasar raya itu jika terdapat kes Covid-19,” katanya kepada pemberita menerusi mesej WhatsApp.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, dilapor berkata premis tersenarai dalam sistem HIDE kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko penularan Covid-19, akan diarah tutup tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Semakan di sistem itu mendapati tiga pasar raya terlibat di Sabah ialah Centre Point Shopping Mall, Suria Shopping Mall dan Kompleks Karamunsing, semuanya terletak di Kota Kinabalu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *