Roket Long March 5B Milik China Terhempas Di Lautan Hindi

Long March 5B ketika dilancarkan di Hainan, China, pada 29 April lalu.

BEIJING: Serpihan roket Long March 5B milik China dikatakan terhempas di Lautan Hindi, menurut agensi angkasa lepas negara itu.

Serpihannya terhempas di perairan berhampiran Maldives.

Menurut agensi itu, serpihan besar roket berkenaan memasuki atmosfera bumi pada Ahad sebelum berkecai di lautan berkenaan.

“Selepas pemantauan dan analisis, pada 10.24 pagi (0224 Waktu Min Greenwich) pada 9 Mei 2021, serpihan besar Long March 5B Yao-2 sudah memasuki atmosfera,” kata Agensi Kejuruteraan Angkasa Lepas China dalam kenyataan.

Agensi itu turut memberikan koordinat yang menjadi lokasi serpihan roket itu bertaburan.

Menurutnya, kebanyakan daripada serpihan itu berkecai dan musnah ketika ia memasuki atmosfera bumi.

Perkhidmatan pemantauan, Space-Track, yang menggunakan data daripada Tentera Amerika Syarikat, juga mengesahkan kemasukan semula roket itu ke atmosfera bumi.

“Semua orang yang mengikuti kemasukan semula #LongMarch5B boleh relaks. Roket itu sudah jatuh,” katanya menerusi Twitter.

Berita itu membuktikan jangkaan pakar sebelum ini bahawa serpihan roket berkenaan akan jatuh di lautan, memandangkan hampir 70 peratus bumi diliputi air.

Bagaimanapun, kemasukan serpihan besar tanpa kawalan itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah antara yang memantau pergerakan roket itu dan cuba meramalkan masa dan lokasi dia terhempas.

Setiausaha Pertahanan AS sebelum ini berkata, tentera AS tidak mempunyai rancangan untuk menembak jatuh roket itu.

Bagaimanapun, pihaknya beranggapan China cuai dalam membiarkan roket itu keluar dari orbit.

Tahun lalu, serpihan daripada satu lagi roket Long March menimpa perkampungan di Ivory Coast, tetapi ia tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Kemasukan semula (terhempas) di laut adalah kebarangkalian besar yang selalu berlaku,” kata ahli astronomi Harvard, Jonathan McDowell menerusi Twitter.

“China nampaknya menang pertaruhan (kecuali kita mendapat berita serpihan itu (jatuh) di Madives. Tapi, ia masih tindakan semborono.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *