Jeffrey Cadang Perlembagaan Persekutuan Baharu Selesaikan Status Sabah, Sarawak

Jeffrey Kitingan berkata, Perjanjian Malaysia baharu juga wajar diwujudkan.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan percaya Perlembagaan Persekutuan baharu adalah jawapan untuk mengatasi segala permasalahan membabitkan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, menurut perlembagaan asal (Perlembagaan Persekutuan), persekutuan yang terbentuk pada 1957 dikenali sebagai Malaya.

Perlembagaan itu kemudian dikenali sebagai Perlembagaan Malaysia selepas pembentukan negara merangkumi Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 seterusnya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.

“Jika itu adalah persekutuan, yang kemudiannya persekutuan Malaya, apa yang Sabah dan Sarawak buat dalam persekutuan itu? Di manakah Persekutuan Malaysia?” soalnya pada forum dalam talian hari ini.

“Jadi jika kamu mahu membentuk Persekutuan Malaysia, kami perlu mempunyai satu perjanjian baharu, perlembagaan baharu di mana Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang ketika ini dipanggil wilayah, mestilah setaraf.

“Mengapa tidak kita (tiga entiti ini) duduk bersama dan wujudkan satu Perlembagaan Persekutuan baharu untuk mengatasi isu dan masalah membabitkan Sabah dan Sarawak kerana ini yang mengekang kita di Malaysia?

Kitingan memberi repons terhadap soalan yang dikemukakan berhubung Sabah dalam satu rakaman video yang ditayangkan “Beyond the 2020 Sabah Pool: Sabah Moving Forward” ketika forum virtual oleh Pertubuhan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS).

Ahli Parlimen Keningau itu berpendapat bahawa Perjanjian Malaysia (MA) yang baharu juga perlu dibuat, dengan mengatakan bahawa dokumen MA 1963 (MA63) sedia ada ternyata tidak membuahkan hasil seperti dikehendaki negeri-negeri di Borneo itu.

“Ini tidak sesuai dengan aspirasi kami. Kami perlu membentuk sebuah kesatuan Malaysia di mana negeri-negeri merdeka Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan bersatu (sebagai satu negara). Apa yang kita ada sekarang terlalu rumit, adakah kita persekutuan atau kesatuan?

“Hala tujunya adalah untuk Sabah lebih berdikari, dapat memenuhi aspirasi sendiri dan tidak terikat dengan agenda Malaya.

“Sekiranya anda mahukan Malaysia berjaya, anda mesti memperbetulkan kesalahan dan kesilapan yang telah berlaku selama ini. Anda mesti menyelesaikan ketidakadilan dan ketidaksamaan. Barulah kita dapat bergerak maju,” kata Kitingan.

Tambahnya lagi, Sabah tidak bergerak maju seperti yang diinginkan oleh rakyat Sabah kerana terlalu bergantung kepada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan telah menjadikan Sabah terlalu bergantung kepadanya dari aspek keselamatan, kewangan dan pembangunan.

“Bukan hanya itu, parti politik dari Semenanjung datang ke Sabah dan bertanding di kerusi kami.

“Dengan berbuat demikian mereka mengambil hak kita untuk bersuara, sehingga mengurangkan peranan kita sebagai rakan setaraf, ” kata ADUN Tambunan itu.

Kitingan berkata, lebih baik parti tempatan di Sabah dan Sarawak menangani masalah di kawasan masing-masing sementara wakil parti Semenanjung menguruskan masalah mereka sendiri.

“Kemudian kita bersama-sama bekerja sebagai rakan kongsi di peringkat persekutuan. Kerajaan negeri juga harus ditadbir dan diperintah sepenuhnya oleh parti-parti politik negeri – itulah hala tuju saya.

“Jika tidak, ini bukan Malaysia yang kita mahukan. Selagi ia bukan negara yang kita cita-citakan, konflik negari-persekutuan akan berlanjutan dan kita akan membuang banyak masa bagi membincangkan perkara ini daripada terus maju, ”katanya.

Mengulas kenyataan Kitngan, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, yang juga panelis di forum itu, mengusulkan supaya jawatankuasa MA63 peringkat negeri ditubuhkan untuk mengawasi dan menuntut hak Sabah dari kerajaan pusat.

“Beliau bersama ketua menteri Sabah Hajiji Noor, dengan mudah boleh membentuk jawatankuasa untuk mewakili pandangan Kabinet negeri kepada kerajaan pusat,” katanya.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata, Kitingan adalah elemen penting dalam pemerintahan Perdana Menteri Muhiyiddin Yassin kerana sokongannya sebagai Ahli Parlimen membolehkan kerajaan terbentuk.

“Beliau boleh meninggalkan kerajaan persekutuan dengan mudah pada bila-bila masa dan angka (sokongan) (Muhyiddin) akan berubah. ”

“Jadi lakukanlah (tubuhkan jawatankuasa MA63 peringkat negeri). Terdapat 25 anggota Parlimen di Sabah yang akan menyokongnya dalam hal ini, ”kata Leiking. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *