COVID-19: Petugas Kebersihan Cetus Kluster Jalan Tunku Kota Kinabalu

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seorang petugas kebersihan yang dijangkiti COVID-19, mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, semalam iaitu Kluster Jalan Tunku Kota Kinabalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata petugas kebersihan terbabit bekerja di Pejabat Lembaga Hasil Dalam (LHDN) cawangan Kota Kinabalu.

“Kes indeks adalah wanita berusia 66 tahun yang bertugas sebagai kakitangan pembersihan di tingkat dua bangunan itu, disahkan positif hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Luyang pada 23 April lepas.

“Susulan kes itu, pasukan kawalan mengaktifkan aktiviti pengesanan kontak dan arahan ujian saringan COVID-19 juga sudah dikeluarkan.

“Setakat hari ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 10 kes merangkumi tiga kes di Kota Kinabalu, empat kes di Papar,

dua kes di Putatan dan satu kes di Penampang,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak dua angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada semalam adalah sebanyak 69 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,580 kes dan tiada kes kematian direkodkan hari ini (semalam).

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 141 menjadikan jumlah kumulatif 57,387 orang.

“Seramai 638 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 225 orang di hospital dan 413 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *