Sabah Mundur Kerana Pemimpin Lama Hanya Tahu Ambil ‘Madu’ – Bung

Bung Moktar Radin berkata, pemimpin sekarang tiada beza dengan pemimpin terdahulu, jika tidak tahu apa harus dilakukan untuk memajukan Sabah yang ketinggalan jauh.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin, mendakwa antara faktor negeri itu ketinggalan jauh dari segi pembangunan kerana pemimpin terdahulu tidak melakukan apa-apa untuk memajukan Sabah.

“Saya bukanlah mahu salahkan pemimpin-pemimpin lama, mungkin ketika itu mereka harus membuat sesuatu keputusan yang baik untuk rakyat, ketika itulah, tetapi seperti saya yang melihat apa dilakukan, sebenarnya tiada apa-apa.

“Sebab itulah Sabah ketinggalan jauh di belakang, walaupun kita kaya dengan hasil dan banyak perkara lagi, tetapi mereka hanya tahu mengambil madu, tidak tahu macam mana mahu menghasilkan madu,” katanya dalam forum “Beyond the 2020 Sabah Polls: Sabah moving forward” anjuran Persatuan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS).

Bung berkata, pemimpin sedia ada perlu bekerjasama tanpa mengira fahaman politik bagi memajukan Sabah, manakala mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan perlu berusaha lebih keras dan memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat.

“Sebab itu, sekarang saya beritahu rakan-rakan sekerja (dalam kerajaan) supaya melupakan hal politik kerana kita mesti memajukan Sabah yang telah ketinggalan jauh. Jika tidak, kita tiada beza dengan pemimpin terdahulu, jadi lebih baik letak jawatan, kalau tidak tahu apa yang harus dibuat.

“Sebagai ahli politik, kita perlu tahu apa yang diinginkan rakyat, tetapi ada juga segelintir ahli politik yang memikirkan apa diinginkan mereka sendiri dan oleh itu, agak sukar bagi mereka memberi khidmat kepada rakyat.”

Politik di Sabah ‘paling gila’

Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata, terlalu berpolitik antara punca negeri itu masih mundur dari segi pembangunan.

Katanya, ia terbukti dengan pilihan raya negeri yang diadakan sebanyak 16 kali, sedangkan Sarawak hanya 12 kali dan pilihan raya umum sebanyak 14 kali.

“Politik di Sabah ini lain sikit, rakyat boleh menukar kerajaan pada bila-bila masa mereka mahu.

“Sabah mempunyai politik paling gila, kalau mahu belajar mengenai politik, datang ke Sabah dan kamu boleh mempelajari apa saja.

“Di negara luar, apabila selesai pilihan raya, kerajaan atau pembangkang masih boleh bekerjasama, tetapi di Malaysia ini lain sikit, yang menang ambil semua, yang kalah, kalah semua dan oleh itu mereka (kerajaan dan pembangkang) akan terus berlawan, sama ada di Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri atau di jalan raya, inilah masalah kita.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *