3,551 Kes Baharu Covid-19, 19 Lagi Kematian

Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 3,551 kes baharu Covid-19 dan 19 kematian, manakala 2,709 pesakit sembuh.

Ini menjadikan 392,555 daripada keseluruhan 427,927 pesakit Covid-19 sudah pulih, manakala angka korban meningkat kepada 1,610 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah terdapat 33,762 kes aktif di seluruh negara, dengan 199 daripada 354 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, 16 ialah kes import dan 3,535 kes penularan tempatan yang terdiri daripada 3,242 warganegara serta 293 warga asing.

Katanya, Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi, dengan 1,137 kes.

“Daripada jumlah ini, 842 kes (74.1%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ini diikuti Kuala Lumpur (477), Sarawak (391), Kelantan (326), Pulau Pinang (305), Johor (258), Perak (137), Kedah (112), Pahang (97), Negeri Sembilan (85), Sabah (69), Melaka (82), Terengganu (58), Putrajaya (12), Perlis (tiga) dan Labuan (dua).

Noor Hisham berkata, lima kematian dilaporkan di Sarawak, masing-masing tiga di Johor dan Selangor, dua kematian dicatatkan di Kelantan dan Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu.

Katanya, 19 kematian itu membabitkan 18 warganegara dan seorang warga asing berusia 31 hingga 92 tahun. Semua kecuali dua orang mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, buah pinggang kronik dan kencing manis.

Lima daripadanya hanya dikesan positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *