Polis Rampas Mercun, Bunga Api Di Tuaran

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim (tengah)

TUARAN, 5 Mei : Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM5,000 hasil daripada serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Termenung di sini, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata dalam serbuan 9.50 malam itu, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menahan lima lelaki yang berumur antara 19 hingga 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim (tengah)

“Semakan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Tuaran di sini hari ini.

Hamizi berkata pihaknya mendapati semua mercun dan bunga api yang dirampas tidak bercukai, dan pihak polis masih menyiasat sumber bekalan barangan tersebut.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 untuk mengenal pasti sumber penyeludupan bahan tersebut,” katanya.

Beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menjual atau bermain mercun tanpa permit termasuk mengubah suai barangan itu kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *