Peter Hantar Tiga Surat Sokongan Pada Najib

Berkas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hadir pada perbicaraan kesnya iaitu menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Datuk Peter Anthony menghantar tiga surat sokongan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014, selepas sebulan tender secara terbuka ditutup.

Najib ketika itu adalah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mazery Mohd Zaini, 37, berkata Peter, yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah menghantar surat bertarikh 9 dan 10 Jun serta 11 Julai 2014 kepada Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, walaupun mengetahui tawaran tender berkenaan berakhir Mei tahun sama.

“Hasil siasatan saya mendapati tawaran tender itu telah diiklan (dibuka) pada 30 April 2014 dan ditutup pada 27 Mei 2014. Ia adalah tender terbuka… terdapat 11 kontraktor yang memasuki tender ini antaranya syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd, Dayamara Sdn Bhd dan RE MT Utama Sdn Bhd,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada hari keenam perbicaraan kes Peter yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem tersebut. Peter adalah Pengarah Urusan Asli Jati.

Ketika ditanya Wan Shaharuddin, siapa yang memenangi tender terbuka berkenaan, saksi itu menjawab: “RE MT Utama Sdn Bhd.”

Beliau berkata ketiga-tiga surat itu mempunyai tajuk yang sama kecuali surat bertarikh 11 Julai yang mempunyai penambahan ‘secara rundingan terus’.

Sebelum ini, saksi pendakwaan keenam, bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi memberitahu mahkamah bahawa kontrak syarikat Asli Jati bagi kerja penyelenggaraan sistem tersebut tamat pada 25 Feb 2015 dan tidak disambung semula oleh pihak UMS.

Zaki, yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah di UMS bermula 3 April 2013 hingga 31 Julai 2018, berkata keputusan untuk tidak menyambung kontrak tersebut dibuat oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dalam mesyuarat pada 16 Jan 2014 yang dipengerusikan beliau sendiri dengan kehadiran Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Mohamad Harun Abdullah serta ahli lembaga lain.

Bagaimanapun, Zaki berkata sekitar Ogos 2014, Mohamad Harun telah berjumpa dengannya dan memaklumkan terdapat tiga surat sokongan berhubung kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan bagi sistem M&E dan antara kandungan surat tersebut adalah berkaitan pihak UMS yang dikatakan telah menyokong pelaksanaan kontrak kerja berkenaan diberikan kepada syarikat Jati Asli.

Zaki berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Zaini Ujang yang kemudian mengatur pertemuannya dengan Najib, yang merupakan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan ketika itu, di bangunan Parlimen.

Dalam prosiding hari ini, Wan Shaharuddin turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib akan dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pada 19 Mei ini.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *