‘Jangan Sampai Menangis Seumur Hidup’, Ismail Minta Rakyat Akur Sekatan

Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan kerajaan mungkin melaksanakan larangan rentas negeri sempena Aidilfitri, buat tahun kedua berturut-turut.

Beliau menasihatkan rakyat supaya akur, sekiranya kerajaan melaksanakan larangan itu tahun ini.

“Saya faham, dua tahun tak jumpa mak, cucu tak jumpa datuk, nenek, anak tak jumpa bapa,” kata beliau dalam wawancara khas bersama Malaysiapost di Bera.

“Tapi kita melihat apa yang dilakukan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) adalah untuk melindungi nyawa kita semua.”

Beliau berkata, 42 kluster dikesan berpunca daripada pergerakan rentas negeri sejak Disember 2020 hingga bulan lalu, menyebabkan lebih 5,800 orang disahkan positif Covid-19.

Daripada jumlah itu, kata beliau, 11 kluster dikesan dalam April sahaja, dengan Kelantan dan Sarawak paling terkesan.

Ismail berkata, seorang individu dari Sarawak yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Johor, menjangkiti lebih 2,600 orang dan menyebabkan 29 kematian selepas pulang ke negeri itu.

“Sampai sekarang belum selesai lagi jangkitan di Sarawak kerana rentas negeri. Jadi, sebab itu KKM memandang serius aktiviti rentas negeri dan tidak benarkan.

“Katakan kita balik dan menjangkiti keluarga kita, kalau nasib tidak baik, contohnya mereka meninggal dunia kerana kita,” kata beliau.

“Mungkin kita bergembira tiga, empat hari beraya dengan ibu bapa kita, tapi akhirnya akan menangis seumur hidup kerana menyebabkan mereka terkorban.

“Contoh ini mungkin ekstrem, tapi tak mustahil dan pernah berlaku di Sarawak, di mana satu keluarga meninggal dunia,” katanya merujuk seorang individu yang pulang dari luar negara dan menyebabkan semua ahli keluarganya terkorban selepas dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, terdapat dua kumpulan individu, iaitu yang mahu kerajaan tegas melarang semua aktiviti seperti ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 dan satu lagi kumpulan lebih liberal yang mahukan kebebasan.

“Hendak seimbangkan antara dua kumpulan ini kadang-kadang agak sukar,” kata beliau. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *