COVID-19: 2,500 Kes Baharu Hari Ini, 18 Kematian

KUALA LUMPUR: Kes baharu Covid-19 turun kepada 2,500 kes semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 417,512 kes, dengan 18 kematian direkod.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian dalam negara sebanyak 1,551 kes.

“Sebanyak 17 kes kematian membabitkan warganegara, manakala seorang bukan warganegara.

“Tujuh kematian direkodkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3), masing-masing dua kes di Sarawak dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Kedah, Johor, dan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 2,500 kes baharu Covid-19 yang dicatatkan, 2,496 adalah kes tempatan iaitu 2,301 warganegara dan 195 bukan warganegara.

“Sebanyak 2,068 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 385,208 kes,” katanya.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 637 kes.

“Daripada jumlah ini, 541 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Kelantan sebanyak 401 kes dan Sarawak sebanyak 356 kes,” katanya.

Menurutnya, sebanyak tujuh kes yang dilaporkan berkaitan kluster di pusat tahanan iaitu Kluster Jalan Meru Utama. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *