Lelaki Maut Dirempuh Ketika Melintas

Gambar Hiasan

SEMPORNA : Seorang lelaki berusia 50 tahun maut dirempuh dalam kemalangan di Jalan Kubang Pinang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan lain.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa dikatakan melintas jalan secara melulu sebelum dirempuh sebuah kenderaan motokar yang dipandu seorang lelaki.

“Pemandu motokar  terbabit mendakwa ketika kejadian, mangsa dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkannya tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Akibat rempuh itu, mangsa tercampak beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan lain,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi tersebut.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan orang ramai yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga diminta hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian berasingan seorang remaja lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke parit di Kampung Sungai Buaya sebaik sahaja selesai berbuka puasa, jam 7.25 malam, kelmarin.

Mangsa Asman Dahlan, 17, ditemui orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira tiga meter dari kenderaannya.

Mohd Farhan berkata, mangsa, dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Indani selepas menghantar ibunya di Kampung Sungai Buaya.

“Setakat ini, polis percaya mangsa gagal mengawal kenderaannya dan terbabas sendiri berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan, diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Alauddin Salehudin di talian 013-6420184 bagi membantu siasatan,” katanya.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *