Majoriti Majikan Malaysia Mahu Vaksin Diwajibkan

KUALA LUMPUR: Majikan di Malaysia menunjukkan minat yang tinggi untuk mewajibkan vaksin kepada pekerja mereka, demikian menurut hasil kaji selidik terkini Employment Hero.

Kaji selidik yang membabitkan lebih 1,000 majikan dan pekerja Malaysia itu mendapati 70 peratus perniagaan Malaysia akan mewajibkan vaksinasi COVID-19 untuk semua kakitangan mereka.

Peratusan itu jauh lebih tinggi berbanding majikan di United Kingdom (UK) sebanyak 33 peratus, Australia (33 peratus) dan New Zealand (35 peratus).

Sementara itu, sebanyak 76 peratus pekerja di negara ini pula bersetuju untuk menerima vaksin dan hanya tujuh peratus enggan menerimanya.

Employment Hero adalah peneraju khidmat penyelesaian insan, gaji serta manfaat untuk perniagaan kecil dan sederhana.

Walaupun tahap penerimaan vaksin yang tinggi dalam kalangan tenaga kerja Malaysia, ketidakpastian jangka masa pelaksanaannya menyebabkan ramai ragu-ragu untuk kembali ke pejabat dalam masa terdekat.

Ini menyaksikan hanya 29 peratus pekerja Malaysia dan 31 peratus majikan Malaysia yang dijangka akan kembali ke pejabat dalam tempoh enam bulan akan datang.

Justeru, majikan Malaysia mempertimbangkan model kerja jangka panjang jarak jauh atau fleksibel untuk melindungi tenaga kerja mereka dari sekatan dan risiko yang berterusan, kata Employment Hero dalam satu kenyataan.

Sebanyak 32 peratus majikan Malaysia menjangkakan pasukan mereka akan terus bekerja dari jarak jauh atau fleksibel, malah ramai menyatakan mereka akan membenarkan lebih banyak fleksibiliti geografi dan waktu kerja.

Namun, masa depan pekerjaan masih tidak menentu menyebabkan tahap tekanan dalam kalangan pekerja Malaysia (61 peratus) dan majikan Malaysia (58 peratus) meningkat.

Ramai pekerja (47 peratus) berasa tidak selesa untuk membincangkan kesihatan mental dengan pegawai atasan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Employment Hero, Ben Thompson, berkata kesihatan mental berikutan COVID-19 dalam tenaga kerja memerlukan lebih perhatian.

“Tempat kerja adalah persekitaran yang penting untuk membincangkan kesihatan mental, tetapi kerana stigma yang melekat padanya dan ketakutan kehilangan pekerjaan, ramai orang terus menderita dalam diam,” katanya.

Laporan global Employment Hero 2021 mengenai ‘Impak COVID-19 kepada Pemilik Perniagaan dan Pekerja’ berdasarkan analisis lebih 1,000 pekerja dan majikan Malaysia.

Tinjauan dilakukan pada Mac 2021 dan bertujuan untuk lebih memahami kesan yang dihadapi COVID-19 di seluruh dunia dan cabaran unik yang dihadapi oleh pekerja dan majikan dalam enam bulan terakhir. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *