5 Beranak Ditahan Miliki 6.09 KG Syabu Di Tawau

Dadah jenis syabu seberat 6.09 kilogram dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Inderasabah, Tawau, tengah hari kelmarin. – Foto ihsan PDRM

TAWAU: Polis menahan lima beranak dan merampas 6.09 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM240,000 di sebuah rumah di Kampung Inderasabah, Batu 24 Jalan Apas, dekat sini, kelmarin.

Suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 61 tahun dan tiga anak lelaki masing berusia tujuh, 25 dan 39 ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata hasil pemeriksaan ke atas satu bilik di rumah berkenaan menemukan sebuah kotak berwarna coklat yang disembunyikan di bawah meja.

“Apabila diperiksa didapati di dalam kotak terbabit mengandungi enam bungkusan berbalut plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peter berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sumber dadah berkenaan diperolehi.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan semakan, kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada lima beranak itu positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *