Muda Bakal Bekerjasama Dengan Warisan, Tetap Tolak PN – Sumber

Muda juga meletak syarat akan menilai semula kerjasama dengan parti pembangkang sekiranya ada di antara mereka yang bekerjasama dengan pihak yang dilabel ‘kleptokrat.

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bakal menjalinkan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut sumber dalaman Muda, partinya telah meletakkan syarat kerjasama itu akan terbatal sekiranya Warisan membuat keputusan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan satu sidang media khas mengenai kerjasama Muda dengan Warisan yang kini mengembangkan sayapnya ke Semenanjung akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kami (Muda) tidak menyertai Warisan tetapi hanya menjalinkan kerjasama dengan parti itu yang kini sudah mengembangkan sayap mereka ke Semenanjung.

“Memandangkan Muda masih lagi tidak diluluskan pendaftarannya, kami perlu mencari alternatif untuk terus bergerak ke hadapan.

“Malah kerjasama dengan Warisan ini juga satu isyarat kepada kerajaan yang enggan meluluskan pendaftaran kami bahawa Muda tidak akan mati biarpun usaha mendaftar parti tidak berjaya,” kata sumber tersebut.

Sumber itu juga memaklumkan Muda akan terus bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain seperti Pakatan Harapan dalam usaha mereka menentang PN.

Malah Muda juga meletak syarat akan menilai semula kerjasama dengan parti pembangkang sekiranya ada di antara mereka yang bekerjasama dengan pihak yang dilabel ‘kleptokrat’.

“Biarpun kami dilihat rapat dengan gabungan pembangkang tetapi kami meletak syarat akan menilai semula kerjasama jika ada yang bekerjsama dengan kleptokrat yang ditolak rakyat.

“Muda tetap dengan pendirian tidak akan bersama PN, Muafakat Nasional (MN), Barisan Nasional (BN) dan kleptokrat kerana keseluruhannya telah rosak.

“Kami mahukan pembaharuan, bukan terperangkap dengan yang lama,” kata sumber itu lagi.

Pada Sabtu malam, pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan akan membuat pengumuman berhubung desas-desus partinya akan bekerjasama dengan Warisan.

Bercakap dalam program siaran langsung di Facebook, “Borak Jam 10” berjudul “Kita Unite” yang turut menampilkan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Syed Saddiq menyifatkan gaya atau corak politik bekas ketua menteri Sabah itu sangat baik untuk Malaysia. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *