Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik

Gambar Hiasan

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika membuat penyambungan elektrik dalam kejadian di Kampung Bundu, Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.25 petang itu, mangsa Liew Kok Phin, 29, dikatakan sedang menggunakan alat pemateri untuk membuat kerja penyambungan bekalan elektronik berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba terjatuh dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dari alat pemateri yang digunakannya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.18 malam.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai sedang menggunakan alat pemateri elektrik untuk membuat kerja-kerja elektronik.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa sedang melakukan penyambungan elektrik daripada rumah sebelah milik bapa mentuanya.

“Ketika kejadian, bapa mertuanya sedang sakit dan berada di wad Hospital Kuala Penyu.

“Mangsa ketika itu bersama dua anaknya yang masih kecil iaitu berusia satu dan tujuh tahun manakala isterinya berada di hospital sedang menjaga bapanya yang sakit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi.

“Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat renjatan elektrik.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini tiada sebarang unsur-unsur jenayah berlaku,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *