Lelaki Filipina Maut Dipercayai Ditetak Dua Beradik Di Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad

LAHAD DATU 18 April : Seorang lelaki warga Filipina maut dipercayai akibat ditetak dua beradik yang juga rakan senegaranya, dalam kejadian di depan rumah pekerja ladang kelapa sawit di Ulu Segama, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata dalam kejadian 6.55 pagi itu, mangsa yang berumur 29 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di ladang tersebut, maut di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada seluruh badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa menemui kedua-dua lelaki berkenaan untuk menyelesaikan masalah terpendam, iaitu mangsa berang dengan tindakan suspek mempersendakannya.

“Berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek yang kemudian berakhir dengan pergaduhan fizikal sebelum mangsa maut akibat ditetak dengan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DARWIN dan DARIN diburu polis : Foto Ihsan PDRM

Susulan itu, beliau berkata polis menahan lima individu termasuk seorang wanita, berusia 18 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya polis sedang memburu dua beradik itu yang dikenali sebagai Darwin, 35 dan Darin, 25.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Khairuddin Husain menerusi talian 013-9071709 atau tampil di  balai polis berhampiran,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *