Sabah Belasah UiTM FC

Pemain Sabah FC meraikan jaringan mereka pada aksi Liga Super menentang UiTM FC di Stadium Likas, malam ini. – Foto ihsan Sabah FC.

KOTA KINABALU: Sabah FC mencatat kemenangan kedua di halaman sendiri selepas membelasah UiTM FC 4 – 0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Badak mengumpul sembilan mata setakat ini selepas memenangi dua perlawanan termasuk pada malam ini dan seri dalam tiga perlawanan sebelumnya.

Gol pertama Sabah FC terhasil pada minit ke-27 hasil penyudah pemain importnya, Sam Johnson yang memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol lawan selepas bola yang cuba ditangkap penjaga gol UiTM FC gagal disambut kemas.

Sang Badak kemudian menambah satu lagi gol pada minit ke-40 menerusi sentuhan pemain import Indonesia, Saddil Ramdani selepas memanfaatkan hantaran Sam Johnson dari luar kotak penalti.

Bersambung di babak kedua permainan, Sabah FC tidak memberi peluang kepada UiTM FC untuk mencipta gol penyamaan, sebaliknya terus melakukan serangan demi serangan dalam usaha untuk menambah gol.

Sabah FC terus mengukuhkan kedudukan selepas gol ketiga berjaya diperoleh pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu pada minit ke-49.

Satu lagi gol berjaya disumbat pemain Sabah FC hasil kecekapan Bobby Gonzales yang memanfaatkan lontaran bola rakannya di kawasan kotak penalti UiTM FC pada minit ke-86, bagi membolehkan tuan rumah menang 4-0. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *