Penduduk Tawau Perlu Ambil Berat Tahap Kesihatan

Christina Liew

TAWAU: Penduduk di daerah ini dinasihatkan untuk mengambil berat tahap kesihatan masing-masing berikutan wujudnya kluster-kluster baharu COVID-19 di sini.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, terdapatnya tanda-tanda gelombang keempat COVID-19 bakal terjadi dan keadaan berkenaan sangat membimbangkan semua pihak, Ia juga disebabkan kegagalan pelbagai pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, berdasarkan statistik sejak 30 Mac 2021 sehingga 16 April 2021, Tawau telah mencatatkan laporan kes jangkitan baharu tertinggi setiap hari. Dari jumlah 23 kes pada 30 Mac 2021, meningkat kepada 78 kes pada 9 April dan kemudian 87 kes pada 10 April dan pada Khamis lalu (15 April), jumlah itu kekal pada 58 kes.

“Kita tidak seharusnya leka terhadap amalan SOP walapun Sabah diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah dilanjutkan sehingga 28 April 2021.

“Nyawa kita sangat berharga, kita hanya hidup sekali sahaja, oleh itu, hargainya nilai kehidupan masing-masing. Jangan dedahkan diri anda kepada risiko. Perhimpunan majlis sosial atau aktiviti luar rumah harus dihentikan sementara waktu.

“Kita masih belum menang, sehingga waktu itu, warga emas khususnya harus elakkan keluar dari rumah kecuali mempunyai hal kecemasan seperti berjumpa doktor di hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, majikan juga diingatkan bagi memastikan pekerja mereka sentiasa mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko pendedahan jangkitan wabak berkenaan di tempat kerja.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api menyeru kepada masyarakat Tawau agar mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19 secepat mungkin agar mereka dan keluarga masing-masing dilindungi daripada wabak itu. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *