40 Kakitangan KKM Dijangkiti COVID-19 Selepas Selesai Vaksinasi

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Seramai 40 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selesai menjalani proses vaksinasi dengan menerima dua dos suntikan dikesan dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sembilan kes dijangkiti dalam tempoh lebih dari dua minggu selepas dos kedua dan 31 kes lagi dijangkiti kurang dari dua minggu.

Beliau berkata, ia jelas menunjukkan langkah kesihatan awam termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dilaksanakan kerana COVID-19 masih boleh dijangkiti walaupun selepas mengambil suntikan, namun dengan gejala kurang serius.

“Seramai 142 kakitangan kesihatan pula dijangkiti selepas dos pertama, namun mereka yang dijangkiti itu mempunyai gejala kurang teruk,” katanya di Facebook, di sini, hari ini.

Melalui perkongsian grafik di Facebooknya itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 426 kakitangan kesihatan yang mengambil vaksin, 244 atau 57 peratus tidak dikesan dijangkiti COVID-19 selepas selesai program vaksinasi.

Pada masa sama, beliau berkata, mereka yang sudah menyelesaikan program vaksinasi tidak boleh mengambil ringan semua langkah kesihatan awam dan SOP.

“Meskipun vaksin memberikan sinar untuk kita melawan COVID-19, namun jangan kita membuat kesilapan dengan mengambil mudah langkah berjaga-jaga.

“Ini kerana tiada yang selamat sehingga semuanya selamat. Semua diminta untuk terus mematuhi langkah kesihatan awam 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran daripada KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

“Selain itu, elakkan 3C iaitu jauhi kawasan sesak (crowded), kawasan sempit (confined) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat (close),” katanya.

Sehingga Khamis lalu, seramai 434,301 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, seramai 671,589 individu menerima dos pertama sehingga Khamis lalu, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini adalah 1,105,890. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *