PBT Di Sabah Diarah Kaji Semula Aktiviti Perniagaan Penjaja

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah diarah supaya mengkaji semula aktiviti perniagaan penjaja dalam usaha menangani penularan COVID-19 berpunca daripada kehadiran orang ramai yang tidak terkawal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia termasuk pasar malam, pasar am, pasar mingguan, tamu, gerai dan lain-lain perniagaan yang berkaitan.

Beliau berkata, langkah untuk mengkaji semula aktiviti berkenaan mengambil kira situasi semasa, penularan COVID-19 di negeri ini yang kembali menunjukkan peningkatan.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti Bazar Ramadan di Sabah pada tahun ini disebabkan kes COVID-19 di negeri ini belum stabil dan muncul beberapa lagi kluster baharu.

“Memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk mengawal penularan COVID-19 di Sabah, maka semua PBT dikehendaki mengkaji semula aktiviti pasar malam, pasar am, pasar mingguan, tamu, gerai dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan pembukaan Bazar Ramadan, namun aktiviti perniagaan lain seperti pasar malam masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata empat lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan di Sabah semalam dengan 202 kes baharu direkodkan berbanding 85 pesakit sembuh.

Empat kluster baharu itu yang masing-masing satu dilaporkan di Keningau dan Kota Belud serta dua di Sandakan adalah berkaitan aktiviti kenduri, majlis pertunangan, rumah pekerja dan saringan bergejala di sebuah sekolah berasrama penuh.

Di Keningau, Kluster Biah di Mukim Ansip yang mencatat 10 kes kumulatif setakat ini membabitkan kes indeks seorang wanita yang menjalani ujian saringan kemasukan ke wad bersalin di sebuah pusat perubatan di daerah itu pada 13 April lalu.

Wanita itu dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri arwah saudara yang turut dihadiri ahli keluarga dan jiran di Kampung Biah Skim pada pada 29 Mac lalu.

Masidi berkata, di Sandakan, Kluster Lorong Megah Jaya yang dilaporkan semalam dikenal pasti membabitkan rumah pekerja di Bandar Megah Jaya yang dikaitkan dengan seorang kes indeks bekerja di sebuah pusat kesihatan.

“Kes indeks dikesan positif melalui saringan bergejala pada 12 April lalu dan susulan daripada itu, saringan terhadap 37 kontak rapat dilakukan dengan 17 daripadanya dikesan positif COVID-19 menjadikan seramai 18 kes dari kluster itu dikesan setakat ini,” katanya.

Kluster kedua di Sandakan semalam ialah Kluster Jalan Labuk yang membabitkan sebuah sekolah menengah berasrama penuh dengan 15 kumulatif kes setakat ini termasuk tujuh yang dilaporkan semalam.

Kluster keempat semalam yang dikesan di Kota Belud dan Tuaran dikenali sebagai Kluster Melangkap Tomis mencatat 10 kes kumulatif setakat ini.

“Saringan kontak rapat mendapati sembilan lagi kes positif iaitu enam dari Kota Belud dan tiga kes dari Tuaran.

Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan silang dalam kalangan 178 tetamu yang menghadiri satu majlis pertunangan di Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud pada 30 Mac lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Sandakan menjadi daerah terbaru dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa mulai esok, menjadikan empat daerah dalam kawasan PKP di Sabah setakat ini dengan tiga lagi ialah Keningau, Tawau dan Lahad Datu. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *