Sabah Tolak Peluasan Akta Laut Wilayah 2012

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian menolak sebarang usaha untuk menguatkuasakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang mengehadkan sempadan perairan Sabah sehingga tiga batu nautika dari pantai.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata akta itu bertentangan dengan Artikel 1(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan wilayah bagi setiap negeri adalah kawasan yang termasuk dalam negeri terbabit sejak sebelum Hari Malaysia.

Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak pernah memberikan persetujuan untuk penguatkuasaan Akta 750 itu di Sabah.

“Mengubah sempadan Sabah memerlukan suara majoriti pada persidangan DUN. Sabah tidak pernah mengubah sempadannya kecuali pada 1984 apabila Labuan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan dijadikan Wilayah Persekutuan.

“Kehilangan wilayah adalah pengalaman menyakitkan bagi mana-mana negara yang merdeka. Mengubah sempadan tanpa persetujuan kita sama sakitnya dengan kehilangan wilayah dan rakyat pasti marah,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Jeffrey yang menghadiri taklimat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, kelmarin, berkata Kerajaan Persekutuan tidak boleh berkeras untuk memperluaskan Akta 750 itu merentasi Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, alasan apabila akta itu dikuatkuasakan di Semenanjung harus diperluaskan ke seluruh Persekutuan termasuk di Sabah dan Sarawak tidak dapat diterima.

“Sabah dan Sarawak adalah wilayah yang tersendiri. London tidak pergi ke Scotland dan merampas wilayah mereka atas kehendak dan keinginan mereka. Prinsip sama diguna pakai untuk Persekutuan ini.

“Saya juga ingin menyatakan Kerajaan Persekutuan secara tidak sah menyerahkan Blok L dan M dalam wilayah Sabah pada 2008 kepada Brunei. Kami mahu wilayah ini juga dikembalikan,” katanya.

Isu mengenai Akta Wilayah Laut 2012 dan sumber minyak serta gas Sabah adalah antara masalah undang-undang yang belum dapat diselesaikan walaupun sudah beberapa kali mesyuarat diadakan di antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan sejak 2017. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *