Majlis Keramaian Punca Penularan Covid-19 Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Majlis keramaian terus menjadi antara punca utama peningkatan terbaharu kes Covid-19 di Sabah dengan dua lagi kluster baharu dikaitkan dengan aktiviti itu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata, Kluster Tabanak di Lahad Datu dan Kluster Kampung Gayang di Tuaran, masing-masing dikaitkan dengan kes indeks yang menghadiri program kenduri.

Masidi Manjun

Katanya, kes indeks Kluster Tabanak iaitu seorang lelaki berumur 39 tahun menghadiri kenduri arwah di Kampung Tabanak, Lahad Datu, 30 Mac lalu, manakala kes indeks Kluster Kampung Gayang yang juga seorang lelaki berusia 69 tahun pula menghadiri majlis kenduri di kampungnya pada 28 Mac lalu.

“Kluster Tabanak mencatat tujuh kes baharu positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes. Kes indeks adalah seorang lelaki berusia 39 tahun yang disahkan positif hasil saringan bergejala di klinik kesihatan pada 9 April lalu.

“Susulan kes itu, ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes indeks menjalani saringan dan daripada 88 orang disaring, seramai 14 orang lagi dikesan positif, 27 orang negatif saringan pertama, manakala 47 orang masih menunggu keputusan.

“Kluster Kampung Gayang di Tuaran pada hari ini menambah dua kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 23 kes. Kes indeks adalah lelaki berumur 69 tahun dari Kampung Gayang yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 4 April lalu.

“Daripada 72 orang kontak rapat yang disaring, 22 orang dikesan positif COVID-19. Saringan komuniti di Kampung Gayang dijalankan secara aktif hingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabah hari ini mencatat sebanyak 117 kes baharu Covid-19 dengan empat kematian, masing-masing tiga di Tawau dan seorang di Nabawan, manakala seramai 78 pesakit dilaporkan sembuh.

Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri bersetuju agar PKPD yang dilaksanakan di Kampung Rimbayan, Keningau ditamatkan pada 15 April seperti dijadualkan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes aktif di lokaliti itu menunjukkan penurunan.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju agar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula 15 April hingga 28 April ini selaras dengan keputusan kerajaan Pusat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *