Lelaki Maut Terjun Dari Rumah Di Taman Telipok Ria

SEKADAR GAMBAR HIASAN

TUARAN: Seorang lelaki warga asing dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat dua rumahnya dalam kejadian di Taman Telipok Ria, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 44 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di kaki lima tingkat bawah perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan dilihat mundar-mandir dalam keadaan gelisah di rumah sepupunya.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa juga dikatakan baru balik dari menjenguk isteri dan anaknya yang berada di daerah Keningau.

“Mangsa ditemui orang awam selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian hadapan blok perumahan berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam rumah mendapati pintu hadapan berada dalam keadaan terbuka dan tiada tanda-tanda mencurigakan yang ditemui,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat pendarahan di bahagian kepala.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis di talian 088791933, 088791966 atau 088791977 untuk membantu siasatan lanjut,” katanya,

Sementara itu, Mohd Hamizi menasihati orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati kerana jenayah berlaku tidak mengira tempat dan waktu.

Katanya, masyarakat juga diminta untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah kepada pihak polis supaya tindakan dapat diambil dengan segera.

“IPD Tuaran akan sentiasa mengambil perhatian serius dan tindakan sewajarnya terhadap sebarang kejadian jenayah yang berlaku di sekitar Daerah Tuaran ini,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *