Guru Wanita, Pelajar Sekolah Agama Cetus Dua Kluster Baharu

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatatkan dua lagi kluster baharu di Tawau dan Kota Kinabalu masing-masing membabitkan guru wanita dan pelajar sekolah menengah agama.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Batu 10 di Tawau mencatatkan jumlah kes harian Covid-19 sebanyak 16 kes.

“Kes indeks adalah guru wanita di sekolah rendah yang dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala dan turut disahkan positif, suami kepada kes indeks yang bertugas di Lembaga Koko Tawau pada 31 Mac lalu.

“Hasil saringan kontak rapat, 14 lagi kes positif dikesan iaitu empat pekerja Lembaga Koko, sembilan kontak rapat kepada pekerja dan seorang pelajar di sekolah tempat kes indeks mengajar.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kluster iaitu Kluster Jalan Khidmat di Kota Kinabalu mencatatkan 24 kes harian Covid-19.

Menurutnya, kes indeks adalah dua pelajar lelaki tingkatan dua di salah sebuah sekolah menengah agama.

“Kedua-duanya dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 12 April lalu.

“Susulan kes itu, pasukan kawalan menjalankan aktiviti persampelan ke atas semua kontak di sekolah terbabit.

“Daripada 796 sampel diambil, 22 kes disahkan positif, 228 sampel negatif manakala 544 sampel lagi masih menunggu keputusan ujian,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri juga berkata jumlah harian kes Covid-19 di Sabah, hari ini mencatatkan tiga angka.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu adalah 142 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,165 kes dan satu kes kematian direkodkan di Tawau. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *