Dakwaan PH Selesai 17 Daripada 21 Isu MA63 Tak Benar – Ongkili

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

KOTA KINABALU: Dakwaan yang mengatakan 17 daripada 21 tuntutan Sabah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga Mac tahun lalu adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang menafikan dakwaan berkenaan berkata 17 perkara yang dimaksudkan itu hanya dipersetujui untuk diselesaikan, namun belum ada keputusan muktamad.

“Pihak pembangkang, ketika kerajaan PH sebelum ini mengatakan mereka sudah mencapai sesuatu ketika pentadbiran mereka.

“Mereka mendakwa, daripada 21 isu yang dibangkitkan, sebanyak 17 diselesaikan tetapi ia sebenarnya tidak betul. Apa yang berlaku sebenarnya ialah ada 21 isu disenaraikan, jawatankuasa meneliti 17 daripadanya dan bersetuju untuk menyelesaikannya.

“Tiada keputusan muktamad kecuali dua atau empat isu di Sabah termasuk berkaitan perhutanan. Mereka hanya menyatakan komitmen untuk menyelesaikan 17 isu berkenaan tetapi dasar, undang-undang dan peraturan belum diubah dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebaliknya, Maximus berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini giat melaksanakan pindaan terhadap dasar, undang-undang dan peraturan berkaitan isu terbabit melalui Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang diwujudkan pada tahun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat MKMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, Maximus berkata dua isu penting dapat dimuktamadkan dalam mesyuarat selama dua jam yang turut disertai secara maya oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg.

Maximus berkata, majlis berkenaan bersetuju untuk menyerahkan pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada kerajaan Sabah, manakala Sarawak akan mendapat kawalan penuh terhadap pengurusan pengagihan gas di negeri itu.

“Bagaimanapun, soal kawalan keselamatan di pulau itu masih di bawah pemantauan kerajaan persekutuan. Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengurus penyerahan penuh pulau itu.

“Perkara kedua pula ialah penyerahan pengurusan dan kawalan pengagihan gas kepada Sarawak mengikut Ordinan Pengagihan Gas 2016 yang akan berkuatkuasa pada 1 Jun depan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *