Ketua Anak Negeri Kes Indeks Kluster Meruntum

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seorang Ketua Anak Negeri (KAN) atau pemimpin adat di daerah Putatan dikenal pasti sebagai kes indeks mencetuskan Kluster Meruntum yang dilaporkan di daerah itu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata individu terbabit dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala di sebuah klinik swasta pada 8 April lalu.

Katanya, kes indeks itu dikenal pasti menghadiri majlis akikah di Kampung Meruntum Fasa III pada 27 hingga 28 Mac lalu, selain menghadiri kursus di Majlis Daerah Putatan pada 31 Mac hingga 1 April.

“Setakat 9 April, seramai 71 kontak rapat sudah disaring dengan lapan daripadanya positif COVID-19, manakala 62 orang lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah di sini, malam ini.

Beliau berkata, dua kes baharu dikesan hari ini membabitkan kluster berkenaan, masing-masing dari Putatan dan Penampang.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata secara keseluruhan Sabah merekodkan 127 kes baharu COVID-19 hari ini, dengan daerah Tawau terus mendahului senarai kes tertinggi iaitu 81 kes.

Berikutan peningkatan mendadak kes di Tawau, katanya, kerajaan negeri bersetuju lapan lokaliti di daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 25 April ini.

Lokaliti terbabit ialah Taman Sri Bukit Tawau, Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Bandar Sri Indah, Jalan Mesra, Kampung Titingan dan Taman Golden Hill.

“Sehingga kini, secara kumulatif 76 kes positif COVID-19 dan 220 orang kontak rapat dikesan dalam lapan lokaliti itu.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.

Seluruh daerah Tawau masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama daerah Keningau dan Lahad Datu.

Masidi menambah, bagi mengekang penularan COVID-19 daripada meningkat secara mendadak semula, kerajaan negeri menggalakkan pelaksanaan bekerja dari rumah bagi penjawat awam dan swasta di kawasan yang dikenakan PKPD dan PKP.

“Bagi membendung penularan pandemik COVID-19, kerajaan negeri meminta orang ramai terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan mengurangkan kehadiran ke kawasan tumpuan awam,” katanya.

Hari ini, daerah dalam zon merah bertambah kepada enam selepas Tuaran berubah daripada jingga kepada merah berikutan peningkatan semula kes baharu sejak kebelakangan ini.

Lima daerah yang kekal dalam zon merah ialah Tawau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan, manakala tiga daerah dalam zon jingga dan 14 daerah dalam zon kuning.

Daerah dalam zon hijau kekal empat iaitu Tongod, Kuala Penyu, Telupid dan Beluran. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *