PKP: Tiada Kompromi Larangan Majlis Sosial Di Sabah

Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika dikesan mengadakan majlis sosial di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kompaun akan dikenakan jika larangan itu tidak dipatuhi.

“Kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang majlis sosial di daerah yang dikuatkuasakan PKP. Sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dikenakan kompaun tanpa kompromi,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, malam tadi

Ketika ini, PKP masih dikuatkuasakan di Tawau dan Keningau, masing-masing tamat pada 16 dan 18 April ini.

Peningkatan kes baharu di Sabah sejak kebelakangan ini banyak dikaitkan dengan majlis sosial atau keramaian yang dikenal pasti menjadi punca tercetusnya kluster baharu.

Dari segi pematuhan SOP, Masidi berkata Tawau dan Sandakan merekodkan pencapaian terendah iaitu sebanyak 96 peratus, manakala Keningau 97.5 peratus.

Sementara itu, Masidi berkata dua lagi kluster baharu Covid-19 direkodkan semalam, kedua-duanya di Sandakan iaitu Kluster Sim-Sim dan Kluster Batu Lima Jalan Sibuga, masing-masing 15 dan lapan kumulatif kes.

Katanya, kes indeks Kluster Sim-Sim yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 4 April lalu dipercayai dijangkiti ketika menghadiri satu sambutan hari jadi di Flat Sim-Sim pada 3 April.

“Daripada 20 ahli keluarga terdekat yang disaring, seramai 14 orang disahkan positif Covid-19.

“Bagi Kluster Batu Lima Jalan Sibuga, kes indeks membabitkan seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 30 Mac lalu.

“Berdasarkan penelitian, jangkitan dipercayai menular dalam kalangan pelajar di kelas dan bilik asrama yang sama. Susulan kes itu, 91 pelajar dan 39 kakitangan institusi berkenaan serta 13 petugas dewan makan disaring dengan tujuh daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Semalam, dua lokaliti baharu turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah iaitu di Kampung Gayang, Tuaran dan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata serta Taman Seri Labuk, Sandakan.

PKPD yang bermula hari ini hingga 23 April dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di lokaliti terbabit.

Sabah mencatat 139 kes baharu semalam dengan lebih separuh direkodkan di Tawau (78 kes), diikuti Sandakan (20 kes), Tuaran (13 kes) dan Lahad Datu (12 kes).

Daerah dalam zon hijau turut berkurang kepada lima daerah iaitu Tongod, Kuala Penyu, Ranau, Telupid dan Beluran selepas Sipitang dan Pitas masing-masing kembali mencatat satu kes baharu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *