Sabah Perinci SOP PKP Tawau & Keningau Cegah Penularan COVID-19

Masidi Manjun

KOTA KINABALU, 6 April : Kerajaan negeri Sabah telah memperincikan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Tawau dan Keningau sehingga 16 April ini, bagi membendung penularan COVID-19 ke negeri, daerah dan lokaliti lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ini termasuk menetapkan kemasukan ke Tawau dan Keningau sama ada melalui udara atau jalan darat hanya untuk perkhidmatan perlu sahaja.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata mana-mana individu yang perlu bekerja di Tawau juga dinasihatkan untuk mendapatkan surat daripada ketua jabatan atau kebenaran polis.

“Selain itu, hanya 30 peratus kehadiran pekerja daripada kumpulan pengurusan (perkhidmatan perlu) manakala pekerja dalam kumpulan sokongan akan ditentukan oleh majikan masing-masing dengan memastikan penjarakan fizikal dan protokol kesihatan awam dapat dilaksanakan di tempat kerja.

“Sebarang majlis sosial dan program-program rasmi kerajaan tidak boleh diadakan sepanjang PKP di Tawau dan Keningau, selain pergerakan dalam tempoh PKP juga terhad kepada dua orang sahaja di dalam sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata semua operasi perkhidmatan dan operasi pentadbiran pejabat kerajaan negeri di Tawau dan Keningau adalah dengan kapasiti kehadiran 30 peratus di pejabat dan 70 peratus bekerja dari rumah kecuali bagi perkhidmatan perlu.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan peningkatan kes baharu positif COVID-19 hari ini iaitu 112 kes berbanding 65 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 55,234 kes. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *