PERKESO Salur Lebih RM1 Bilion Kepada Rakyat Sabah

Hajiji Noor (kanan) menerima cenderamata daripada Mohammed Azman Aziz Mohammed selepas kunjungan hormat oleh PERKESO di pejabat beliau, semalam. (Gambar JKM)

KOTA KINABALU, 7 April : Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menyalurkan lebih RM1 bilion kepada rakyat Sabah menerusi pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja dalam tempoh mencabar ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata peruntukan itu disalurkan dalam bentuk bantuan serta insentif kewangan kepada majikan dan pekerja untuk kelangsungan operasi perniagaan, mengekalkan pekerja sedia ada dan mengambil pekerja baharu.

Beliau berkata sehingga kini, Perkeso telah berjaya mengagihkan RM14.6 bilion kepada para majikan dan pekerja di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif kerajaan dilaksanakan oleh agensi itu.

“Setakat 2 April, Perkeso berjaya menempatkan semula 46,971 individu ke alam pekerjaan, manakala jumlah kekosongan jawatan didaftarkan majikan pula menjangkau 457,753 kekosongan.

“Bagi Sabah pula, pekerja aktif yang dilindungi sebanyak 280,744 orang, manakala majikan aktif yang dilindungi 33,893 orang setakat 1 April,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah di sini hari ini.

Perkara itu telah dimaklumkan Mohammed Azman kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Hajiji yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Sabah Dr Mohd Ali Hindia di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, semalam.

Hajiji dalam kenyataan sama berkata kerajaan negeri menghargai peranan Perkeso dalam penyediaan keselamatan sosial untuk rakyat Sabah bagi perlindungan bencana kerja, keilatan termasuk sebarang kematian dan pemberian elaun kehilangan pekerjaan, insentif yuran latihan, mobiliti dan program penampatan pekerjaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *