Netizen Kesal Bayaran KWSP i-Sinar April Belum Dikreditkan

KUALA LUMPUR: Ramai netizen meluahkan rasa kecewa apabila pembayaran i-Sinar untuk April masih belum dikreditkan ke dalam akaun mereka.

Mereka membalas di ruangan komen Facebook rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Selasa.

Seorang pelayar Facebook yang menggunakan nama Muhammad Hazim mempersoalkan tarikh pengeluaran i-Sinar dilanjutkan selama empat hari.

“Kenapa date dalam i akaun pengeluaran i-Sinar 5 hari bulan di anjak ke 9 hari bulan?” soalnya di ruangan komen.

Seorang lagi pelayar, Ecah Kamsani turut membalas di ruangan sama dengan memaklumkan dia baru sahaja menghubungi talian i-Sinar bagi menanyakan tarikh pembayaran berkenaan.

Dia difahamkan, tarikh sebenar pembayaran ke akaun miliknya masih belum diketahui buat masa ini.

Sehubungan itu, dia mencadangkan supaya pihak KWSP membuat prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk tarikh pengeluaran bagi memastikan semakan dibuat dengan lebih mudah.

Sebelum ini, pihak KWSP memaklumkan bayaran i-Sinar bagi Mac diawalkan dan dibayar pada minggu akhir Februari manakala pembayaran seterusnya pula akan dibuat pada April.

Sehingga kini, ruangan status di Facebook itu menerima 1,400 tanda suka dengan 505 komen. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *