Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik

Mangsa yang maut akibat terkena renjatan eletrik.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri bekalan elektrik, di belakang sebuah kilang berhampiran penempatan Setinggan Kampung Lembaga Padi, Ahad lalu.

Kejadian disedari kira-kira jam 10.30 pagi oleh pekerja kilang berkenaan selepas menemui seorang lelaki terbaring sebelum memaklumkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dalam keadaan terbaring di dalam parit belakang kilang berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditemui dengan keadaan tangan kanannya mengenggam kabel elektrik dipercayai cuba melakukan aktiviti mencuri bekalan elektrik.

“Menurut saksi yang juga pekerja kilang berkenaan memberitahu, mereka terdengar ada suara antara dua hingga tiga orang di belakang kilang kira-kira jam 3 pagi.

“Kemudian pada sebelah pagi, saksi mendakwa ternampak seorang lelaki terbaring di parit dan terus memaklumkan kepada pengurus kilang untuk membuat laporan polis,” katanya  dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

George berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak kabel yang dipercayai digunakan untuk mencuri kuasa elektrik termasuk penyambungan ke tiang elektrik diluar kilang berkenaan.

Katanya, pihak SESB kemudiannya dihubungi untuk mematikan aliran elektrik dikawasan berkenaan.

“Pihak KKM daripada Hospital Wanita Dan Kanak Kanak Likas (HWKKS) yang hadir mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian juga tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda-tanda perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian si mati,” katanya.

George berkata, mayat mangsa sudah dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) untuk mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *