ADUN Sebatik Diminta Henti Buat Kenyataan Mengelirukan – Sarifuddin Hata

Sarifuddin Hata

KALABAKAN: “Saya nasihatkan Hassan untuk berhenti berkata-kata perkara tidak betul. Sedangkan sumpah yang telah dibuat boleh diingkari apatah lagi jika ingin meraih sokongan dan simpati rakyat,”.

Itu nasihat diberikan Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Kalabakan, Sarifuddin Hata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang mendakwa 5,000 ahli Warisan daripada 98 cawangan menyertainya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sarifuddin yang menafikan dakwaan tersebut menjelaskan Hassan cuba menipu Ketua Menteri dan pucuk pimpinan Bersatu dari segi angka agar diberi tempat dan jawatan.

“Dari segi logik, jika benar ada 5,000 ahli Warisan di DUN Sebatik menyokongnya, tidak mungkin dia hanya memperoleh 2,665 undi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Tidak dinafikan ada ketua cawangan yang beralih sokongan dan menyertai Hassan, boleh dikatakan 20 ketua cawangan mengikutinya namun, ahli-ahli cawangan tidak mengikuti ketua mereka,” katanya ketika mengulas mengenai kenyataan ADUN Sebatik.

Mengulas lanjut, ADUN Merotai ini berkata, ramai ketua cawangan Warisan Bahagian Kalabakan yang menghubunginya dan memaklumkan mereka tidak tahu nama-nama mereka dibawa untuk menyertai Bersatu.

Kebanyakan mereka ini adalah pejuang Sabah yang mahukan parti tempatan menerajui kepimpinan negeri.

Semalam, semasa majlis sambutan ulang tahun kedua Bersatu Sabah, ADUN Sebatik itu menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu dan beliau mendakwa 5,000 lagi ahli daripada 98 cawangan Warisan di DUN Sebatik turut menyertai Bersatu. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *